Sunday, October 01, 2017

RESEPI LAKSA SARAWAK


Laksa Sarawak merupakan sebuah juadah yang berasal dari Negeri Sarawak,Malaysia. Bahan utamanya adalah sambal laksa yang diperbuat daripada pelbagai ramuan. Ia mempunyai sup asas mengandungi sambal belacan yang memberikannya warna seakan kemerahan yang turut dicampur dengan santan, asam jawa, bawang putih, lengkuas, dan serai. Di atasnya pula ditabur dengan cebisan telur goreng, hirisan ayam, udang, dan daun ketumbar. Limau nipis juga ditambah mengikut selera individu.

Bahan-bahan seperti tauge, hirisan tauhu goreng atau makanan laut yang lain juga ditambah mengikut kehendak walaupun bahan-bahan tersebut bukanlah ramuan laksa yang tradisional.

Laksa Sarawak juga turut mudah didapati di negeri-negeri jiran seperti Sabah dan Brunei Darussalam. Hasilnya mungkin menyebabkan sesetengah untuk mempercayai bahawa terdapat resipi laksa yang berbeza dari Sabah dan Brunei, yang sebenarnya serupa dengan laksa Sarawak.

RESEPI LAKSA SARAWAK

BAHAN-BAHAN
Bihun (dicelur dan ditoskan)
Isi ayam  kalau nak sedap goreng dahulu.
Tauhu goreng
Telur dadar
Tauge (dicelur seketika)
Cendawan hitam (dicelur)
250g udang (dicelur)
Telur rebus
Sambal belacan dan limau kasturi

CARA PENYEDIAAN SAMBAL BELACAN
 Kisar (menggunakan pengisar bahan kering) 3-4 tangkai cili merah dan 10 tangkai cili api (ikut tahap kepedasan masing-masing) bersama-sama 3 sudu belacan dan sedikit garam.

BAHAN-BAHAN KUAH LAKSA
200g pes laksa sarawak Haji Manan
2 liter air
200g udang tanpa kulit – boleh juga dicincang
2 batang serai – dititik
200ml santan pekat
Garam dan gula secukup rasa

CARA MENYEDIAKAN KUAH LAKSA
Masak 2 liter air sehingga mendidih dan celurkan udang (300g) seketika. Boleh juga rebus isi ayam tadi jika tidak suka digoreng. Toskan.

Masukkan rempah laksa,serai yang diketuk dan masak sehingga mendidih. Masukkan udang(200g) untuk kuah, santan, garam, gula. Biarkan mendidih dan sebatikan rasa.

CARA MENGHIDANG LAKSA SARAWAK
Sediakan mangkuk, masukkan bihun, dan bahan-bahan laksa di atasnya. Lengkapkan dengan kuah laksa dan sambal belacan. Perahkan limau kasturi dan laksa sudah sedia untuk dinikmati. Selamat mencuba!


No comments:

Post a Comment